PENGENALAN
Konsep pembelajaran sepanjang hayat bukanlah merupakan satu konsep baru di dalam sistem pendidikan negara. Secara hurufiahnya, pembelajaran sepanjang hayat bermaksud aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan untuk sepanjang hayat. Pada lazimnya ia merujuk kepada aktiviti pembelajaran yang dilakukan oleh orang dewasa. Pembelajaran sepanjang hayat dianggap bermanfaat kepada individu kerana ia dapat membaiki kehidupan seseorang menerusi peningkatan kemahiran kerja, pembaikan sahsiah diri dan juga penambahan ilmu pengetahuan.
Pembelajaran sepanjang hayat meliputi pelbagai pendekatan untuk belajar. Ianya termasuklah amalan membaca, penyertaan kursus jangka pendek, penyertaan kursus jangka panjang, penyertaan ceramah dan juga pembelajaran melalui pengalaman. Pembelajaran ini di lakukan melalui pendekatan formal dan tidak formal dan terbuka kepada semua peringkat umur dan latar belakang. Ianya merupakan satu bentuk pembelajaran yang fleksibel bagi membolehkan semua pihak mendapat peluang meningkatkan ilmu dan tahap kemahiran ke tahap yang menbanggakan.
Pembelajaran sepanjang hayat amat perlu dilaksanakan kepada penghuni kerana mereka ternyata kekurangan dalam beberapa aspek modal insan, seperti ilmu pengetahuan dan sahsiah. Dari aspek ilmu pengetahuan dikalangan para penghuni yang terdapat di Jabatan Penjara Malaysia, adalah diperhatikan kemahiran sosial mereka rendah, pengurusan diri yang lemah, semangat patriotisme yang kurang. Merujuk kepada juvana pula banyak di antara mereka yang tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan berhenti sekolah pada peringkat menengah rendah. Pada hemat mereka, pembelajaran untuk mereka telah berakhir tetapi apabila mereka ditempatkan di institusi penjara mereka dikehendaki meneruskan pembelajaran mengikut bidang yang mereka mempunyai keupayaan.
DEFINISI
PSH dari segi konsepnya merangkumi pengertian yang begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.
Di dalam sesebuah organisasi, konsep ini merujuk kepada proses di mana pekerja mendapat pengetahuan serta pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Pekerja diharapkan memperolehi kemahiran baru dan kemudian menggunakan kemahiran tersebut dalam pekerjaannya serta berkongsi maklumat dengan pekerja lain.
Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak dapat dipelajari secara biasa,tidak juga secara formal mahupun latihan.Ianya memerlukan pusingan yang berterusan menerusi mencipta dan memahami erti perkongsian ilmu.Berdasarkan pandangan di atas PSH dapat disimpulkan kepada proses berikut;
1) Proses pembelajaran seseorang berlaku secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan.
2) Proses pembelajaraan seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan, ianya adalah proses sepanjang hayat.
KONSEP PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Menjelang Abad ke-21 masyarakat antarabangsa lebih perihatin berbanding pada abad sebelumnya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan melalui konsep PSH. Mengikut kajian UNESCO, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara-negara membangun (Amerika Utara, Eropah dan Jepun) adalah hasil perancangan strategik pembangunan sumber manusia di mana seluruh anggota masyarakatnya mendapatkan peluang pendidikan terbuka dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO mulai pertengahan tahun 1990an telah melancarkan program bagi meningkatkan kesedaran pentingnya PSH di kalangan negara-negara yang sedang membangun. Pandangan PBB ini adalah berdasarkan kepada kertas dasar yang disediakan oleh “Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Pendidikan Bagi Abad Ke-21” bertajuk “LEARNING: The Treasure Within.” Intisari kepada laporan tersebut mencerminkan bahawa PSH menjadi kunci kepada pembangunan sumber manusia Abad Ke-21.
Menyedari PSH menjadi penting bagi memastikan kekayaan dan kemakmuran sesebuah negara, Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan proaktif dengan mengubal dasar, di mana PSH menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan negara. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi tempoh 2001 – 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) adalah merupakan rangka pembangunan negara jangka panjang bagi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran ekonomi berasaskan pengetahuan.
Y.A.B Perdana Menteri dalam ucapan di Parlimen pada 23 April 2001 telah memberikan penekanan di mana dalam RMK-8 akan dapat menyediakan asas pembangunan sumber manusia untuk menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan serta mempertingkatkan produktiviti dan daya saing.
Pada tahun 2008 jumlah seramai 36,672 orang banduan berada di dalam penjara dan mereka ini adalah sumber tenaga negara. Sumber tenaga ini perlulah dibangunkan supaya mereka dapat menyumbang tenaga untuk membangunkan negara selari dengan matlamat pemulihan jabatan untuk menjadikan mereka warganegara yang berguna. Pembelajaran sepanjang hayat ini juga diharapkan dapat melahirkan banduan yang lebih insaf di samping dapat menurunkan jumlah kemasukan yang berulang di samping semasa di dalam tahanan mereka dapat menjadikan institusi penjara lebih selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan